Kenyataan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) yang mengakui bekalan air bersih tidak mencukupi mengesahkan kenyataan awal kerajaan Selangor sebelum ini bahawa keutamaan perlu diberikan kepada bekalan air terawat bukan air mentah.
Kekurangan bekalan air terawat adalah kerana kelemahan penyelenggaraan loji-loji rawatan air, keadaan paip air yang kurang memuaskan serta kegagalan SYABAS mengadakan sistem logistik yang berkesan dalam menyalurkan air kepada pengguna.
Ini ditambah dengan kegagalan SYABAS menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) daripada 33 peratus kepada 15 peratus pada 2012 seperti yang dipersetujui dalam perjanjian perswastaan.
Ia juga merupakan sebab yang sama mengapa Langat 2 bukan penyelesaian kepada masalah air. Penyelesaian yang lebih berkesan adalah dengan memastikan operator air cekap dan berkesan.
Kerajaan Selangor menyeru Kerajaan Pusat supaya memberi keutamaan kepada menyelesaikan penstrukturan semula industri air bagi membolehkan kerajaan negeri memulihkan keadaan perkhidmatan pembekalan air yang tidak terurus sepanjang di bawah SYABAS.
YAB TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
19 MEI 2013